18 SEPTEMBER 2023 – Panitia Sejarah dan Panitia Pendidikan Seni SRS Datuk Simon Fung telah berkolaborasi untuk menganjurkan sambutan Hari Malaysia pada 14 September hingga 18 September 2023. Sambutan Hari Malaysia ini diadakan dengan tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.
Antara program yang telah dijalankan sepanjang sambutan ini termasuklah Pertandingan Mewarna untuk murid-murid Tahap 1 dan PPKI serta Pertandingan Melukis dan Mewarna Poster bagi murid-murid Tahap 2. Kedua-dua pertandingan ini dijalankan serentak pada 14 September 2023 dengan tema “Malaysia Madani” sebagai panduan. Hasil kerja para pemenang pertandingan telah dipamerkan selama seminggu di depan dewan sekolah.
Sambutan Hari Malaysia peringkat sekolah ini diteruskan dengan acara kemuncaknya iaitu Majlis Penutupan pada 18 September 2023. Para murid dan guru dengan semangat yang tinggi berkumpul di dewan sekolah seawal jam 7:30 pagi untuk merayakan sambutan ini bersama-sama. Tambahan pula, beberapa orang murid dan guru sempat memperagakan pakaian tradisional masing-masing untuk menambahkan warna-warni kemeriahan sambutan Hari Malaysia.
Majlis Penutupan ini diisi dengan pelbagai aktiviti termasuklah bacaan ikrar, laungan merdeka dan kuiz patriotik untuk murid-murid. Selain itu, penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan mewarna dan melukis juga telah diadakan. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian solo daripada dua orang murid dan seorang guru serta persembahan nyanyian duet daripada dua orang guru. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik beramai-ramai.
Kesimpulannya, sambutan Hari Malaysia ini membawa banyak faedah kepada warga sekolah terutamanya dalam menyemai semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan murid dan para guru. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.